SEJARAH BATIK
Sejarah batik yang tepat tidak dapat dipastikan tetapi artifak batik berusia lebih 2000 tahun pernah ditemui. Dari manapun asalnya, hasil seni ini telah menjadi warisan peradaban dunia. Pemakaian batik dalam busana tradisi mempunyai sejarah yang lama berlangsung dari zaman awal tamadun Melayu. Dipakai oleh semua golongan, dari raja ke bangsawan sampai ke rakyat jelata, batik menzahirkan dirinya sebagai seni asli yang praktikal dan popular. Dalam tradisi penulisan tradisi, kain cindai misalnya disebut dalam banyak hikayat-hikayat silam. Batik menjadi hadiah perpisahan dan perlambangan cinta dalam Hikayat Malim Deman dan persalinan dijadikan tanda penganugerahan darjat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam seni wayang yang lebih terkemudian; dalam filem Sumpah Orang Minyak (P. Ramli 1968) batik dijadikan lambang pernyataan cinta yang terlarang. Dan siapa yang boleh melupakan Ramona berkemban dengan batik lepas bermandi bunga dalam Fenomena (M.Nasir 1996).
Perkembangan dalam seni batik
Perkembangan dalam seni batik
Corak batik melalui evolusi dari corak terap yang asal dengan asimilasi pengaruh seni batik Indonesia dan luar. Batik tulis berdasarkan kaedah canting dipengaruhi oleh Indonesia dan bersama-sama dengan kemunculan pewarna baru yang susuai untuk sutera membawa kepada ledakan seni batik tulis di pertengahan 90an. Batik Terengganu khususnya batik terap mempunyai kedudukan yang unik walaupun dikatakan dipengaruhi oleh seni batik Jawa. Namun begitu, seingat saya, batik Terengganu dan batik Jawa berbeza; malah sehingga kinipun pengeluar batik tradisional masih mempertahankan teknik dan corak Terengganu walaupun ada beberapa pengeluar atas alasan kos menggunakan blok yang dibawa dari Indonesia.
Cabaran dalam industri
Perkembangan batik bergantung kepada beberapa faktor dari reka bentuk, bahan, artisan hinggalah kepada trend citarasa semasa. Ledakan 90an telah surut mendadak akibat lebihan bekalan dan ketiadaan kawalan mutu. Peniru melambak di pasaran. Pergantungan industri kepada tekstil dan pewarna yang diimpot juga menjadikan industri ini kurang daya tahannya. Tanpa perlindungan kerajaan, kos bahan mentah yang tinggi, saingan yang melampau dan perubahan citarasa kepada tekstil impot menjuruskan industri ini ke senja.
Masa depan batik
Ketahanannya merentas masa adalah faktor yang akan meneruskan sejarah batik. Seninya akan hidup melewati usia industri dan peredaran dunia fesyen akan membawa batik popular kembali. Demikian, keperluan kepada idea dan kaedah baru amatlah dirasai.
SEJARAH SONGKET
Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.
Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau.
Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.
Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau.
Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.
Sejarah songket
Sejarah dari mana datangnya kain songket itu tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun dan asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit selain ‘songkok’ (China) membawa maksud yang sama.
Mengikut Robyn Maxwell (1990), pengetahuan orang Melayu mengenai teknik songket mungkin diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuhkan lagi penghasilannya.
Corak dan motif
Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan. Antara corak yang digunakan:
Susunan bunga penuh
Susunan bunga bertabur
Susunan bercorak
Motif yang digunakan pula adalah seperti:
Motif Tumbuh-tumbuhan
Motif Binatang
Motif Alam/Benda
Motif Kuih
Proses pembuatan
Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.
Mencelup benang
Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat benang perlu di keringkan, sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan.
Melerai benang
Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
Menganeng benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.
Menggulung
Benang-benang yang diregang di alat menganeng (ianian) digulung dengan sekeping papan loseng.
Menyapuk benang
Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.
Mengarak benang
Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.
Menyongket benang
Proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang di panggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang.
Menenun
Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.
Songket kini
Hari ini, pemakainya lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan majlis begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.
Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan hiasan dinding.
Peningkatan kos penghasilan sutera, benang emas dan perak serta perubahan fesyen dan trend sedikit sebanyak mempengaruhi industri songket seawal pertengahan abad ke-20.
Pejuang songket
Usaha memartabatkan industri songket Malaysia ke persada fesyen tanah air dan antarabangsa dicetuskan oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.
Perjuangan Allahyarham Endon yang tidak mengenal putus asa menganjurkan pelbagai program bagi mengembalikan kegemilangan songket Melayu seolah-olah memberi nyawa baru kepada industri seni fabrik yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.
No comments:
Post a Comment